ELAK bertanyakan si dia soalan yang berulang-ulang. - Gambar hiasan
SEMEMANGNYA benar apa yang diungkapkan, bulan Syawal antara bulan terbaik untuk kita merapatkan kembali hubungan yang sudah sekian lama terpisah, apatah lagi mengeratkan ikatan silaturahim yang telah lama terjalin.
Dalam meniti kemuliaan Aidilfitri, inilah waktunya yang paling sesuai untuk kita memohon seribu kemaafan dalam mengukuhkan ukhuwah. Tidak kira sahabat handai mahupun kekasih hati, sudah menjadi tuntutan kita, penghuni di muka bumi ini untuk saling bermaafan.
Walaupun Ramadan begitu menguji emosi umat-Nya, namun Syawal juga mempunyai kesinambungan dalam keutuhan jiwa dan nurani. Bagi membangkitkan suasana ceria di Hari Raya, pelbagai perkara perlu dititikberatkan dan dielakkan. Ini penting agar hubungan yang dibina menjadi bertambah bahagia, umpama dunia ini milik anda berdua.
Ikuti beberapa punca dan tip mengeratkan hubungan intim bagi setiap pasangan kala menikmati keindahan Lebaran, yang sememangnya memberi pengertian bermakna dalam sebuah kehidupan. Yang pasti, elakkan perkara yang boleh menyebabkan si dia berkata "terserah kepadamu sayang...."
Beri pendapat profesional
Jangan terlalu bersikap terburu-buru dalam menghakimi diri sendiri atas alasan si dia tidak lagi mempedulikan kamu dan tidak ingin menerima pendapat atau sedikit komen daripada kamu.
Sebenarnya, sikap sebegini hadir disebabkan kamu merasakan pendapat yang diberikan kepadanya sering diabaikan. Tidak percaya? Cubalah kamu ingat kembali sebab dan alasannya. Sewaktu kamu menanyakan sesuatu atau meminta pendapat yang memerlukan dirinya membuat keputusan, contohnya membeli barangan keperluan Hari Raya atau mengajaknya berhari raya di rumah kamu, adakah kamu mendesak si dia untuk melahirkan pendapatnya?
Jujur dikatakan, kita seringkali mengerti pilihan terbaik yang perlu diputuskan. Namun, situasi ini hanya memerlukan penegasan atau pilihan kedua yang perlu dibuat olehnya. Sekiranya, dia mula memberikan pendapat (yang bukannya pilihan kamu), pasti kamu tetap memilih pilihan kamu sendiri, bukan? Inilah salah satu punca yang membuatkan si dia sering mengeluarkan perkataan 'terserah kepadamu sayang'.
Tip: Sekiranya kamu sudah membuat pilihan, lebih baik jangan bertanyakan sekali lagi hanya untuk mendapatkan penegasan daripadanya. Namun, jika kamu benar-benar ingin melibatkannya, belajarlah mendengar pendapatnya. Walaupun ternyata pilihannya kurang bagus buat kamu, jangan marah atau meremehkan lagi seleranya. Jelaskan dengan baik, (tanpa nada tinggi) bahawa pilihan yang dia berikan agak kurang tepat. Selain itu, situasi ini tidak menimbulkan pertengkaran dan tidak membuatkan dirinya berasa diabaikan.
Tidak perlu bertikam lidah
Dalam menghadapi musim perayaan ini, mungkin muncul masalah yang tidak diduga di antara kamu berdua. Apa yang difikirkannya mungkin tidak sama apa yang berlegar di dalam kotak fikiran kamu. Satu-satunya cara kita menepis kesemua masalah itu adalah dengan membicarakannya. Namun, ada kalanya kita sebenarnya berbicara untuk 'membongkar' masalah yang sedang dihadapi, dan bukannya mencari jalan keluar untuk menyelesaikannya.
Pasangan yang memahami permasalahan kamu itu, mungkin merasakan tidak perlu lagi bertikam lidah sekiranya kamu seringkali menceritakan kepadanya masalah dan penyebab masalah tersebut. Cukup hanya sekali, si dia menasihati dan mendengar masalah yang kamu hadapi. Jangan ceritakan berkali-kali sehingga membantutkan komunikasi kamu dengannya sekali gus memaksa dia mengeluarkan kata-kata 'terserahlah kepada kamu untuk selesaikannya sendiri'.
Tip: Kamu sememangnya memerlukan penyelesaian? Oleh itu, bicaralah lebih serius sambil duduk berdepan dan menatap anak matanya. Beri signal bahawa kamu sememangnya ingin mendengar setiap pendapat yang dinyatakannya. Ketika dia berbicara, fokus kepada semua nasihat dan kata-katanya. Hargailah pendapatnya dengan melakukan apa yang dia katakan.
Pertanyaan berulang-ulang
Kenapa dia atau kamu selalu menyatakan 'terserah kepada kamu'? Rasa bosan mendengar kata-kata 'terserah' yang seringkali keluar dari mulut kekasihnya, Kamal, mulai mengganggu fikiran Fatin. Ini kerana, setiap kali bertanyakan tentang pakaian yang sesuai dipakai untuk menziarahi saudara-maranya, Kamal sering melemparkan ucapan 'terserah kepada kamu'. Jawapan itu, membuatkan Fatin menanyakan soalan yang sama berulang kali untuk mendapatkan kepastian.
Tip: Sebenarnya, kamu tidak perlu lagi bertanya berulang-ulang kali. Apatah lagi sehingga dia boleh mengira dengan jari berapa kali pertanyaan yang kamu katakan itu. Walaupun kamu ingin meminta pendapatnya, ajukan pertanyaan dengan cara berbeza. Dan ketika dia menentukan pilihannya (meskipun tidak sesuai dengan pilihan kamu), jangan ditolak apatah lagi diremehkan. Anggaplah ini sebagai bahagian yang harus kamu terima dalam melatih si dia 'bersuara'.
No comments:
Post a Comment