“SAYA cinta kamu” atau ‘I love you’, tiga perkataan ringkas tetapi sarat dengan makna yang mendalam.
Hanya perlu diungkapkan dan ia membuatkan hati seseorang melayang sebaik mendengar ungkapan keramat itu.
Bagi pasangan yang baru bercinta, pasti terbayang betapa indahnya alam yang bakal ditempuh sekiranya cinta itu tiada penghalang. Mereka yang sudah melalui detik indah seperti bertunang mahupun menuju ke gerbang perkahwinan, tidak bermakna cinta itu harus dibiar begitu saja tanpa membajanya.
Demi menzahirkan cinta yang sedia intim itu, perkukuhkan lagi benihnya supaya ia terus segar dan bercambah tanpa sebarang halangan. Ertinya, jangan biarkan cinta itu semakin lama semakin pudar, sebaliknya biarkan ia terus membara dan hangat selamanya.
Pelbagai cara boleh digunakan untuk meluahkan rasa cinta. Apabila cara luahan itu dilakukan dengan lebih kreatif, sudah tentu detik itu menjadi saat paling bermakna buat si dia.
Untuk menyuburkan lagi perasaan indah itu antara anda dan pasangan, cuba ikuti petua berikut:
Tulis dan tampal. Tulis ucapan cinta di atas sekeping nota kecil dan tampal di tempat yang tidak diduga. Contohnya, di kerusi, papan pemuka kereta si dia, di komputer riba atau di halaman akhbar yang akan dibacanya.
Iklan di akhbar. Cinta itu sememangnya mengasyikkan sehingga terbawa-bawa bersama ombak asmara. Cinta boleh menjadikan pasangan kurang siuman bahkan cinta juga mengajar pasangan erti kewarasan.
Demi membuktikan kesetiaan cinta pada pasangan, lakukan sesuatu yang tidak diduga dengan cara memasukkan iklan menerusi akhbar yang sering dibaca bersama puisi cinta anda padanya.
Bukukan cinta. Catatkan kisah perjalanan cinta anda berdua dalam sebuah buku. Kirimkan novel itu pada hari paling bahagia untuk anda berdua. Contohnya, pada ulang tahun hari lahir atau ulang tahun percintaan.
Pesanan cinta. Rakamkan beberapa baris pesanan cinta anda padanya atau nyanyikan lagu kegemaran anda berdua, lalu kirimkan padanya. Lebih canggih, tinggalkan pesanan cinta menerusi khidmat pesanan suara, MP3 atau panggilan secara rakaman video untuk mengungkapkan rasa cinta padanya.
Koleksi sistem pesanan ringkas (SMS). Kumpul semua SMS atau e-mel cinta yang diterima daripadanya dan tuliskan dalam sebuah buku. Kemudian, kirimkan buku itu padanya. Letakkan tarikh kiriman serta masa penghantaran SMS atau e-mel yang dikirim itu. Cara ini membuktikan anda menghargai setiap apa yang diucapkannya.
Menyusun silang kata atau mainan huruf. Kirimkan permainan huruf yang bertulis 'Saya cinta kamu’ atau ‘I love you’ menerusi SMS. Hantarkan satu persatu perkataan supaya si dia tidak sabar menanti setiap huruf yang anda kirimkan padanya.
Cinta dalam 100 bahasa. Belajar menyatakan ungkapan ‘saya cinta kamu’ dalam 100 bahasa dan kirimkan kepadanya setiap hari.
Kirimkan hidangan tengah hari. Ketika mengirimkan hidangan kesukaannya, jangan lupa sematkan ucapan ‘saya cinta kamu’ di atas kotak makanan itu.
Menghantar mesej cinta pada sebiji buah-buahan juga memberi makna tersurat kepadanya sehingga kejutan itu membuat diri pasangan rasa hebat.
Apabila hubungan semakin erat terjalin, beberapa kriteria yang lain harus diambil kira. Ia penting bagi menentukan usia perhubungan berterusan dalam jangka waktu yang lama atau ke akhir hayat.
Untuk memupuk rasa cinta berterusan, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan, antaranya:
Rahsia sepasang kekasih memiliki usia hubungan yang panjang adalah sikap saling bekerjasama. Anda dan dia sering saling membantu dalam urusan remeh atau besar.
Sering menempuh segala aspek kehidupan bersama-sama sehingga semuanya terasa amat menyenangkan meskipun tanpa membabitkan orang lain. Adakah ia berlaku pada diri anda?
Salah satu kriteria yang menentukan sesuai atau tidak dirinya adalah dia bersahaja di depan anda.
Deria batiniah seolah-olah dapat dibaca oleh si dia apabila anda atau si dia dapat saling membaca fikiran dan menduga reaksi serta perasaan antara satu sama lain.
Bersama dirinya membuatkan perasaan menjadi tenang, selesa dan tanpa rasa tekanan yang membebankan.
Dia menjadi orang pertama yang datang memberi bantuan tatkala anda dirundung musibah.
No comments:
Post a Comment