Padah tekanan kerja kursus
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my
MELAKA: Tertekan akibat bebanan kerja kursus yang banyak selain terpaksa membahagikan masa dengan aktiviti berpersatuan dipercayai menjadi punca seorang penuntut pintar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, membunuh diri dengan terjun ke laut.
Ini berikutan mangsa, Boo Jay Win, 20, yang dikatakan hilang sejak Jumaat lalu, pernah beberapa kali mengadu kepada bapa serta teman wanitanya dia keletihan kerana terpaksa menyiapkan banyak kerja kursus, selain aktiviti persatuan sehingga terpaksa berjaga lewat pagi.
Mayat penuntut tahun ketiga jurusan Kejuruteraan Robotik, Universiti Multimedia (MMU) di Kampus Bukit Beruang dekat sini, dijumpai terapung kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian oleh seorang pekerja sebuah pusat hiburan, kira-kira jam 5.30 petang kelmarin, sebelum dimaklumkan kepada polis.
Mangsa dipercayai terjun ke laut bersebelahan sebuah pusat karaoke di The Jetty, Pulau Melaka, dekat sini, berikutan penemuan barang peribadi miliknya di situ.
Bapa mangsa, Boo Swee Kee, 49, seorang guru, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia sekeluarga amat sedih dengan kematian anak sulung mereka dan masih bingung memikirkan bagaimana anaknya boleh lemas di laut.
“Kali terakhir saya jumpa anak saya pada cuti Hari Kebangsaan dan puasa lalu. Masa itu dia balik hanya dua hari dan balik semula ke asrama kerana nak siapkan tugasan.
“Dia seorang yang pandai dan gemar mencuba banyak perkara serta rajin. Ada beberapa kali dia mendapat markah penuh dalam peperiksaan. Namun, beberapa bulan lalu Jay Win ada mengadu pada saya, dia terpaksa buat banyak kerja kursus dan juga aktiviti persatuan,” katanya.
Menurut Swee Kee, pada mulanya dia terkejut selepas dihubungi anggota dari Balai Polis Bukit Baru, yang memaklumkan kehilangan anaknya sebelum datang ke Melaka dari Batu Pahat, Johor jam 3 pagi, kelmarin.
Beliau berkata, kehilangan anaknya disedari rakan sebilik, Jumaat lalu selepas tidak pulang ke asrama, ponteng kuliah dan tidak menghubungi mana-mana rakan sekuliah.
“Rakan sebiliknya beritahu anak saya tidur lewat jam 4 pagi, Khamis lalu, selepas siapkan kerja kursus. Bila bangun, dia tengok anak saya tiada di katil dan ingat dia pergi sarapan.
“Namun, dia mula bimbang selepas anak saya tidak hadir kelas dan tidak langsung menelefon atau hantar SMS. Jam 11 pagi semalam (kelmarin) rakannya dapat panggilan daripada seorang penyelia karaoke yang menjumpai beg duit, telefon bimbit dan kunci kereta anak saya,” katanya.
Sementara itu, teman wanita mangsa, Chong Jin Lian, 20, penuntut jurusan perakaunan di universiti sama, pula berkata, mangsa menghantar SMS kepadanya pada jam 2.30 petang, Khamis lalu, memberitahu tidak dapat keluar makan bersama kerana menghadiri majlis perpisahan dan kuliah.
Ibu mangsa, Ng Poh Poh, 46, yang juga seorang guru, bagaimanapun enggan ditemubual kerana amat sedih dan tidak dapat menerima hakikat kematian anaknya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Deputi Superintendan Razali Khamis ketika dihubungi semalam berkata, polis menolak sebarang unsur jenayah dalam kes itu.
“Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 5 petang semalam (kelmarin) dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka (HM). Mangsa dipercayai lemas lebih 48 jam sebelum ditemui dan mayatnya sudah dituntut keluarga,” katanya.
Note : God has given us a brain to think.Even though not all problem can be solved,at least we can talk about it with someone.If all problematic people take this kind of action,i guess the world population has already decreased.This world will be a deserted planet.Bcoz' all people has their own problem.The difference is,how they handle those problems.