FaCtS Of LiFe

♥ You're not best friends because you sit together at LUNCh or taLK on the phone, or have matching fLiP-fLOPS or can recite each others Wardrobe. You're bestfriends because when she smiles, a grin forces itself across ur face no matter how mad you are, when she cries you instantly feel her pain and want to cry with her. When you Look her in the eyes you know theres no one you could ever tryst more regardLess of how many broken hearts you've had. That's what it means to be best friends...♥

Wedding Anniversary

Daisypath Anniversary Years Ticker

Friday, November 14, 2008

Dilema cinta suami orang


CINTA lahir tanpa diduga apabila hati mula terpikat dengan seseorang lantaran kesamaan minat, sikap ambil berat di samping kekerapan bertemu dan saling mencurahkan rasa.

Pernahkah anda berasa terlalu teruja dengan lelaki sedangkan anda tahu banyak duri yang bakal menghalang perjalanannya?

Barangkali inilah yang dikatakan takdir apabila hati terpaut pada yang sudah berpunya terutama suami orang. Sikapnya yang prihatin, bertanggungjawab, penuh perhatian dan sentiasa di sisi di saat bantuan diperlukan membuatkan hati sentiasa terkenang-kenang.

Lalu bagaimana hendak mengikis perasaan itu kerana anda merasakan bagai bertemu cinta sejati dengan lelaki milik wanita lain?

Jika anda baru belajar menyintai suami orang, renunglah rencana ini yang mungkin sedikit sebanyak membuatkan anda cuak untuk jatuh cinta dengan ‘hak milik orang’ itu.


- Si dia tidak berani membuat sebarang komitmen dengan anda

Seorang lelaki yang tidak bahagia dalam rumah tangganya pasti terasa amat gembira dengan kehadiran anda apatah lagi dia terasa dirinya diberi sepenuh perhatian yang mungkin tidak diperoleh daripada isterinya sendiri.

Pasti saban masa dia akan melahirkan rasa bahagianya berada di sisi anda. Ini mungkin kelihatan seperti komitmen terhadap masa depan anda tetapi percayalah, itu hanya kata-kata manis sekadar untuk mendapatkan cinta anda saja.

- Sanggup menipu isterinya

Sikapnya yang tidak jujur terhadap isterinya sendiri sudah cukup untuk dijadikan bukti jelas kepada anda sikap sebenar si dia yang tidak jujur.

Dia sanggup mencari hiburan di luar rumah apabila mendapati ada masalah atau perkara yang tidak memuaskan hatinya di rumah tanpa cuba untuk mengatasi masalah itu.

Tambahan pula, anda menjadi punca sebenar si dia menipu isterinya. Ingat, si dia mungkin akan mengulangi sikap menipu ini pada anda apabila hubungan anda berdua menghadapi masalah dalam hubungan seterusnya.

- Hubungan secara sulit

Merahsiakan sesebuah perhubungan itu sememangnya suatu perkara yang meletihkan. Membabitkan diri dalam perhubungan sulit seperti ini akan membuatkan anda kehilangan keyakinan diri kerana anda akan ketinggalan dalam pelbagai aspek perhubungan yang indah.

Anda tidak boleh berjalan berdua-duaan dengan bebas dan bangga. Ini kerana anda akan sentiasa diselubungi perasaan takut dan bimbang. Takut orang lain terlihat anda berdua-duaan lalu mengadu kepada isteri si dia. Mati anda kena serang!

- Lelaki lebih beruntung

Apa yang dimaksudkan ialah dia dianggap lebih bertuah kerana pada masa sama, tetap mempunyai sebuah keluarga yang akan tetap menyayanginya. Sebaliknya dalam diam, anda pula kerugian kerana terpaksa berkongsi kasih dengan keluarganya yang sah.

Bayangkan, anda tidak boleh menemaninya ke majlis kerana sudah pasti dia akan membawa isterinya. Anda hanyalah sebagai teman di kala ingin mengubat kesunyian atau mencari hiburan jika ada masalah di rumah saja.

- Mampukah anda mencintainya?

Persoalannya, apakah anda masih sanggup meneruskan perhubungan dengan seorang lelaki yang tidak jujur dan tidak hormat kepada isterinya?

Dengan menjalinkan perhubungan secara sulit dengan anda sudah jelas menunjukkan bahawa dia menganggap perempuan mudah untuk dipikat dan diperlakukan sewenang-wenangnya.

Jika dia benar-benar menyayangi dan jujur dengan isterinya, sudah pasti dia sanggup berterus-terang. Alasan untuk tidak melukai hati isterinya bukannya alasan yang kukuh memandangkan dia sememangnya sudah melukai hati isterinya di saat dia menjalinkan hubungan dengan wanita lain.

- Si dia akan hilang hormat

Jangan terkejut! Walaupun dia yang jatuh cinta pada anda dan menarik minat anda, di dalam hati lelakinya dia mungkin akan pandang rendah terhadap wanita seperti anda yang mudah terpedaya dengan kata-kata lelaki sepertinya.

Siapa tahu, mungkin pada awalnya dia sekadar hendak ‘mencuba’ saja. Tidak sangka pula anda benar-benar terpikat. Dalam keadaan seperti inilah yang selalunya akan timbul soal dipermainkan.

- Anda menipu diri sendiri

Si dia sentiasa mengucapkan kata-kata manis pada anda tetapi masih tidak menamatkan perhubungannya dengan isterinya, dan pada masa sama, masih tidak memulakan perhubungan yang sah dengan anda.

- Masa itu emas dan jangan mensia-siakannya

Hubungan dengan lelaki yang sudah berkahwin boleh berlanjutan selama beberapa tahun manakala usia anda pula semakin meningkat.

Apabila sudah tua, baru sedar yang anda terjerat dan tidak boleh melarikan diri lagi. Jika boleh melarikan diri pun, anda sudah tidak tahu apa yang patut dilakukan. Terasa begitu lama anda mempersiakan zaman muda dengan menjalinkan hubungan yang mungkin tidak bermakna.

Thursday, November 13, 2008

Dugaan cinta jarak jauh


PERNAHKAH anda berasa terlalu jauh dengan seseorang? Apabila perasaan sayu dan kerinduan yang mendalam terhadap si dia, ia membuatkan anda sering termenung memikirkan dirinya.

Bayangkan anda bertugas nun jauh di utara tanah air sedangkan si dia pula di selatan. Mengatur janji temu dengan komitmen yang banyak sedangkan pada masa sama, rindu terhadap si dia meluap-luap, pastinya hati tidak keruan dibuatnya.

Percintaan jarak jauh ada kalanya begitu menduga biarpun sesekali terasa seronok dan terbuai oleh kejujurannya. Namun ada juga yang menaruh curiga dengan pasangan kerana takut kasih sayang yang sedang disulam akan terhakis perlahan-lahan.

Bagaimana untuk memelihara dan mengekalkan percintaan jarak jauh yang dilalui? Pelbagai perasaan yang merunsingkan, menyedihkan dan memeningkan apabila berada dalam situasi cinta jarak jauh ini. Pelbagai dugaan dan cabaran perlu dihadapi.

Menangis dan sedih yang amat sangat apabila si dia berubah hati disebabkan rasa sunyi. Untuk mencari jalan mengatasi dan mengekalkan hubungan itu, diperturunkan petua ini supaya anda lebih bertindak rasional serta memperkukuhkan lagi jalinan ikatan selain menyuburkan kasih sayang supaya terus berpanjangan.


- Percaya pada pasangan

Apabila berjauhan dengan pasangan, kita hendaklah percaya dengan si dia. Pentingnya sikap saling mempercayai dalam berpasangan ini berasaskan kepada tunjangnya iaitu kesetiaan.

Percayalah pada si dia yang dia akan setia dan masih menyayangi anda walaupun berada jauh beribu-ribu kilometer jaraknya.

- Setia walaupun jauh

Memang pelbagai dugaan yang akan dihadapi apabila berjauhan. Ketika berjauhan, anda akan terasa sunyi kerana orang yang selalu kita jumpa, tiba-tiba kini jauh dari mata.

Apabila berjauhan, hati menjadi sunyi dan pelbagai perasaan timbul di hati. Ketika inilah kawan menjadi penyeri. Namun begitu, walaupun anda masih mempunyai kawan, kawan hanyalah kawan. Ceria bersama kawan tidak sama dengan ceria apabila bersama dengan orang yang anda sayang. Di sini, ada yang kecundang.

Ada yang berpasangan dan menjalin hubungan dengan kawan disebabkan terasa sunyi. Fikirkanlah, apa perasaan pasangan apabila mendapat tahu yang anda tidak setia? Letakkan diri anda di tempat dia. Adakah anda akan gembira dan suka jika dibuat demikian?

- Berjumpalah walaupun seketika

Jangan jadikan jauh itu sebagai alasan. Cinta perlukan komitmen. Cinta juga adalah tanggungjawab. Walaupun jauh, cuba cari masa untuk berjumpa dengan si dia.

Andai kata si jejaka duduk jauh di pantai timur misalnya manakala si gadis tinggal jauh di selatan, cuba cari masa yang sesuai untuk berjumpa.

Paling tidak pun apabila ada cuti panjang menjelang. Janganlah tidak berjumpa langsung. Sudah pasti rindu di hati akan semakin memberontak apabila berjauhan.

Jadi, apabila ada kelapangan itu, rancanglah untuk berjumpa. Sudah pasti ini akan mengeratkan lagi hubungan dan dapat mengurangkan rasa rindu.

- Tanyalah khabar

Setiap malam sebelum tidur kalau boleh cuba hubungi si dia untuk bertanyakan khabar. Buat secara selang seli. Hari ini anda yang hubungi dia dan esok giliran dia pula. Dengan cara ini, baru sama-sama berasa susah dan senang.

Jangan mengharapkan si dia saja yang akan menelefon. Sudah pasti dia akan berasa sukar untuk menghubungi anda jika dia saja yang perlu hubungi. Memang cinta perlukan komitmen tetapi ia akan menjadi sukar apabila sebelah pihak saja yang memberikan komitmen. Untuk itu, sama-samalah membantu dalam membina percintaan ini.

- Sambut hari ulang tahun bersama

Sekiranya tidak sibuk, cuba sambut ulang tahun bersama-sama. Sekiranya sambutan hari ulang tahun itu jatuh pada hari bekerja, sambutlah bersama-sama pada hujung minggu selepas itu.

Luangkan masa bersama untuk seketika, sudah pasti dapat menggembirakan antara satu sama lain. Walaupun perjumpaan itu hanya sementara, kenangan ketika berjumpa bersama-sama sambil menyambut hari ulang tahun sudah pasti akan terpahat kukuh di hati.

Mungkin anda akan tersenyum sendirian apabila mengenangkan kembali kenangan manis sebegitu.



- Jangan jadikan jarak sebagai pemusnah

Cinta jarak jauh memang sukar. Memang meronta-ronta hati bila mana rindu itu datang. Apabila keseorangan, sudah pasti kita akan terasa sangat kerinduan itu.

Tetapi ingatlah, jangan jadikan jarak yang jauh itu sebagai pemusnah cinta. Jadikan ia sebagai satu cabaran yang akan memberikan anda lebih bersemangat untuk meneruskan cinta itu.

Apapun rintangan yang ada, jangan jadikan ia sebagai alasan dan penghalang. Tetapi jadikan ia sebagai sesuatu yang dapat menambahkan kasih sayang kita kepada si dia. Apabila jauh, anda akan merasa rindu bukan? Jadi jauh itu bukan satu perkara yang tidak baik, cuma ia salah satu cara untuk memupuk rasa kasih sayang dan mengajar untuk menjadi seorang kekasih yang setia.

Ramai orang tahu apa makna ‘putus kasih’ dalam perhubungan. Ada di kalangan anda yang pernah berpisah dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika itu.

Semuanya dirasakan seakan hidup ini tidak bermakna. Berjurai air mata dikeluarkan dan pelbagai memori indah saat bersama dengan pasangan anda hadir dalam minda waktu itu. Tetapi semuanya tidak berguna lagi kerana dia bukan lagi pasangan anda.

Wednesday, November 12, 2008

I Have A Dream

Kongsi mimpi indah anda

MIMPI adalah gambaran, pemikiran dan perasaan yang dialami ketika kita tidur dan ini berkait rapat dengan tidur gerak mata cepat.

Kandungan dan tujuan biologi mimpi tidak dapat difahami sepenuhnya, walaupun topik ini mendapat perhatian umum sejak berabad lamanya. Kajian saintifik mengenai mimpi dipanggil sebagai oneirologi.

Kajian menunjukkan terdapat sekumpulan tema yang kerap berlegar dalam mimpi. Antaranya ialah situasi membabitkan sekolah, dikejar, berlari dengan perlahan, seakan-akan terjatuh, datang lambat, seseorang yang masih hidup tiba-tiba mati, gigi tercabut dan saat memalukan.

Menariknya, hanya 12 peratus daripada kita yang pernah bermimpi dalam hitam putih. Ada orang berpendapat mimpi itu mainan tidur semata-mata, namun ada juga yang mengambil perhatian serius terhadap mimpi mereka. Katanya, mimpi memberikan semacam satu petunjuk dalam meneruskan kehidupan.

Berikut serba sedikit mengenai makna mimpi (ini hanya tafsiran dan ketepatannya tidak diyakini seratus peratus):

Labah-labah - Melihat labah-labah bermakna anda akan menjadi lebih berhati-hati, bekerja dengan rajin dan mendapat kejayaan.

Labah-labah yang besar bermakna kejayaan akan cepat tiba. Tetapi, jika dikejar atau digigit labah-labah, bermakna akan timbul masalah atau kesukaran dengan kejayaan anda.

Tingkap - Jika bermimpi melihat sesuatu dari tingkap, ini bermakna anda akan murah rezeki. Mimpi membuka tingkap memberikan khabar yang baik manakala mimpi tingkap pecah bererti anda bakal mendapat kesukaran dalam perniagaan dan cinta.

Air - Air melambangkan emosi dan perasaan anda. Dalam mimpi, ia menggambarkan hidup dan kelahiran. Menyeberang sebuah sungai bermakna perubahan dan sungai kecil yang mengalir dengan cepat menunjukkan emosi yang tidak dapat dikuasai.

Ular - Jika anda seorang jejaka atau gadis yang bermimpi melihat atau dipatuk ular, bermakna anda bakal menamatkan zaman bujang.

Sekiranya anda sudah pun berkahwin, ia bermakna anda akan memperoleh kemakmuran hidup. Mimpi melihat ular berwarna-warni, bererti kebahagiaan akan menjelma.

Mimpi melihat ular yang banyak sekali, bermakna akan panjang umur. Namun awas, jika anda bermimpi dikelilingi banyak ular, bermakna ramai yang memusuhi anda.

Wang - Jika anda bermimpi kehilangan wang, bermakna akan memperoleh rezeki yang halal. Mimpi mendapat wang saja bermakna anda akan jatuh sakit.

Mimpi menyebar wang, bermakna akan menderita kerugian kerana melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang. Mimpi menabung wang bermakna akan dibenci atau diperdaya orang.

Topi - Jika anda bermimpi memakai topi, bermakna kedudukan anda akan semakin lebih baik. Mimpi kehilangan topi bermakna ada sesuatu yang akan hilang di rumah anda.

Terbang - Jika anda bermimpi terbang dengan pesawat, bermakna akan datang tawaran istimewa kerana anda yang mempunyai kelebihan yang sangat berharga.

Kalau diri anda yang terbang, ertinya anda akan memperoleh satu pengalaman atau ilmu yang bermanfaat dan berguna dalam hidup atau kerjaya anda.

Salji - Jika anda bermimpi melihat hamparan salji yang memutih, bermakna ada berita gembira menanti anda.

Itu antara maksud tertentu dalam mimpi, sama ada ingin mempercayainya atau tidak, terpulang. Tetapi, jangan pula terlalu taksub dengan mimpi kerana dikhuatiri akan memudaratkan diri.

Tuesday, November 11, 2008

Understand Ur Couple

Fahami situasi pasangan gawat

TIADA ribut atau angin, tiba-tiba sikap dan tingkah pasangan berubah. Daripada seorang periang, terus memilih untuk menjadi pendiam tanpa diketahui punca dan alasannya.

Apa yang cuba dilakukannya hanya ingin menemani anda, mengajak menikmati makan malam di gerai murah, lebih gemar memencilkan diri dan tidak lagi bergayut lama di telefon bimbit seperti selalu.

Persoalan sama ada poketnya kekeringan, tetapi malu untuk memberitahu anda, mungkin menjadi sebabnya.

Sebagai pasangan yang sebelum ini amat bahagia, tentunya keadaan itu mengundang rasa serba salah sekiranya dia berterusan membisu sehingga langsung tidak mahu berterus-terang.

Bagi lelaki, antara perkara paling sensitif untuk disentuh dalam hidup mereka adalah soal kewangan. Bahkan menjadi satu pantang kepada mereka dan tidak akan sesekali memberitahu anda masalah berkaitan wang ringgit.

Sebagai kekasih, anda perlu memahami situasi yang dihadapi dan jangan menambahkan lagi kekusutan fikirannya.

Jika mahu kekal bahagia dengan orang yang anda sayang, kongsi petua di saat si dia berhadapan masalah kewangan dan apa yang perlu anda lakukan.

Bertindak membantunya sekiranya si dia memperlihatkan tanda seperti berikut demi mengharapkan hubungan terus kekal bahagia:

Menghabiskan masa di rumah

Setiap kali tiba hujung minggu, si dia lebih gemar menghabiskan masa bersama ahli keluarganya di rumah daripada keluar bersama anda. Lebih baik tidak keluar rumah dalam keadaan kewangan yang goyah daripada menghabiskan masa bersama si dia.

Keputusan yang dibuatnya itu atas alasan ingin bebas daripada beban kewangan dan anda perlu memahami perasaan orang yang anda sayang ketika berdepan situasi sedemikian.


Menonton di rumah

Saat si dia kering poket, menonton di rumah sama ada program biasa di televisyen atau cakera video digital (DVD) lebih memberi keuntungan daripada keluar bersiar-siar, menonton wayang atau bersantai yang dianggap tidak berbaloi.

Alasannya, hanya perlu menonton beberapa keping DVD sambil menikmati makanan ringan yang dianggap ringkas dan praktikal.


Makan di gerai murah

Sebelum ini, si dia sering mengajak menikmati hidangan di restoran eksklusif dan mewah. Tetapi kali ini, dia membawa anda ke gerai murah.

Reda saja dengan keadaan dirinya yang tengah ‘tenat’ dan kekeringan jika mahu perhubungan anda selamat dengan memahami keadaan dirinya.


Pulang awal

Selepas menjemput anda dari pejabat, dia terus menghantar anda pulang ke rumah. Padahal, kebiasaannya si dia selalu membawa anda keluar makan bersama.

Alasan diberikan seperti badan kurang sihat, ada kerja, bertemu kawan dan pelbagai alasan pelik yang perlu anda fahami dia dalam keadaan runsing kerana keadaan kewangan gawat.


Tiada hadiah ulang tahun

Selama ini, si dia tidak pernah ketinggalan memberi hadiah menjelang ulang tahun anda berdua atau menjelang hari istimewa. Tetapi kali ini, si dia hanya memberikan ucapan tanpa pemberian sebarang hadiah.

Jika dia mengatakan belum menemui sebarang hadiah yang sesuai buat anda, jangan cepat melenting. Katakan pada diri anda yang si dia dalam keadaan serba tidak kena kerana kedudukan kewangannya yang kurang memberangsangkan.


Hindari ajakan ke pusat beli-belah

Si dia kelihatan tidak tenang apabila anda mengajaknya ke pusat beli-belah. Mungkin takut jika anda menyuruhnya membelikan sesuatu buat anda.

Untuk itu, jika dia mengatakan, “Lain kali sajalah kita pergi”, itu menunjukkan dia dalam keadaan yang tertekan kerana masalah kewangan.

Jangan cepat menghukumnya hanya kerana hal remeh-temeh sedangkan sebelum ini dia jarang bersikap begitu.


Destinasi legenda jadi pilihan

Tidak seperti biasa, si dia mengajak anda mengunjungi ke tempat peninggalan sejarah lampau seperti muzium mahupun zoo.

Jika si dia beralasan ia adalah destinasi yang aman dan tenang untuk anda berdua, ia memberi konotasi ada sesuatu masalah sedang disembunyikan. Kalau anda bijak meneka, ia mungkin ada kaitan dengan wang ringgit.


Hanya menemani

“Maaf, saya sudah pun menikmati hidangan di rumah, saya teman awak saja ya?” Itu jawapannya ketika anda mengajaknya makan di luar. Dengan kata menemani ini bererti tiada keperluan untuknya membelanja anda.


SMS saja

Kebiasaannya, setiap saat dan minit si dia rajin menelefon anda, tetapi kali ini dia lebih gemar menghantar mesej menerusi SMS.

Lalu dia beralasan, “Apa kata kita SMS saja, pasti lebih murah dan berbaloi.”

Barangkali tidak sukar memahami situasi dan tekanan kewangan yang sedang dialaminya saat itu.


Kereta rosak

Tanpa bertanya, si dia menceritakan soal berkaitan keretanya yang kian meragam.

“Selalunya ok, tetapi hari ini kereta meragam pula. Tak tahu kenapa.”

Begitu alasannya. Si dia mungkin sukar berterus-terang kepada anda mengenai masalah kewangannya dan dia mengharapkan anda faham keadaan itu melalui perubahan tingkah lakunya.

Monday, November 10, 2008

Lelaki lebih berahsia


BUKAN hanya wanita makhluk yang kompleks dan sukar difahami, begitu juga lelaki kerana sifatnya yang sukar ditelah. Biarpun lelaki menyatakan yang mereka tidak demikian, hakikatnya kebanyakan mereka amat sukar difahami.

Berbeza dengan sifat wanita yang mudah menyatakan sesuatu yang dirasai atau apa disukai, sifat lelaki semakin sukar difahami jika orang yang paling hampir dengannya tidak cuba memahami biologi dan sikap sebenar mereka.

Bagi memahami golongan Adam ini dengan lebih mendalam, cuba baca petua berikut untuk lebih memahami dan mengenali mereka.

Sifat lelaki lebih mudah

Lelaki lebih mudah cara hidupnya berbanding wanita kerana itu, lelaki sukar untuk memahami jika sesuatu perkara itu disampaikan dalam bentuk kiasan oleh wanita.

Wanita suka berkias dan berharap lelaki faham tetapi mereka lebih suka jika ia dijelaskan dengan bahasa yang mudah serta berterus-terang. Sekiranya wanita tidak jelas mengenai sesuatu perkara, tanyalah secara terbuka kepada lelaki.


Bahasa lelaki adalah berlainan

Lelaki bercakap dengan bahasa berlainan. Ini yang menyebabkan lelaki dan wanita sukar berkomunikasi antara satu sama lain. Daripada kata-katanya, jika dia bercakap dengan wanita adalah berbeza daripada apa yang dimaksudkannya.

Ini bukan bererti dia berbohong namun lebih baik bagi wanita untuk memahami lelaki daripada apa yang dilakukannya berbanding daripada apa yang dikatakannya. Lelaki tidak pandai melahirkan rasa hatinya dalam bentuk kata-kata.


Lelaki suka membisu

Wanita berkebolehan untuk membincangkan sesuatu subjek yang sensitif dan mendukacitakan sebagai salah satu cara berhadapan dengan realiti tetapi lelaki lebih suka untuk menyembunyikannya serta membisu.


Lelaki tidak kompleks

Jika terdapat semua tanda yang menunjukkan seseorang lelaki hanya mahu wanita menjaganya, mengemas rumah, menyediakan makanan untuknya dan melakukan jimak secara kerap dengannya, wanita harus percaya itulah yang lelaki mahukan.

Ini bukan bererti lelaki berfikir secara primitif, tetapi lelaki memang sedemikian. Wanita biasa menganggap lelaki sebagai kompleks, tetapi sebenarnya kehendak lelaki adalah mudah.


Lelaki berahsia dengan lelaki lain

Tidak sebagaimana wanita yang lebih mudah bercakap dengan wanita lain mengenai masalah, harapan dan kebimbangan yang amat rahsia serta peribadi, sukar bagi lelaki untuk menjadi mesra sedemikian rupa. Untuk melakukannya, lelaki memerlukan kekuatan dan keberanian yang tinggi.


Lelaki pentingkan kejujuran

Jika lelaki tahu isterinya suka bercerita pada wanita lain mengenai dirinya, besar kemungkinan lelaki itu tidak akan bercerita lagi secara mesra mengenai hal rahsia kepada isterinya. Kejujuran adalah penting bagi lelaki. Dia mahukan isterinya menyimpan rahsia rumah tangga.


Lelaki tidak suka dikritik

Jangan mengkritik lelaki, melainkan jika anda sedia untuk bertikam lidah dengannya. Lelaki tidak begitu terbuka untuk menerima kritikan.

Mengkritik di belakangnya, contohnya kepada saudara atau kawannya, mungkin dapat mengelakkan konfrontasi serta-merta tetapi dia akan berasa marah juga apabila perkara itu disampaikan kepadanya.

Cara yang baik untuk mengkritik lelaki ialah dengan berjenaka dan lembut. Cara lelaki mengkritik adalah berlainan dan mereka jarang melakukannya.

Apabila lelaki mahu mengkritik, mereka memilih masa dan keadaan dengan teliti. Ketika menegur, perbincangan itu ringkas, tidak beremosi dan tepat. Untuk wanita mengkritik lelaki, elok jika kritikan itu digabungkan dengan sedikit pujian.


Lelaki juga mahukan sokongan

Ketika berdepan masalah dan mengadu pada wanita, wanita harus memberitahu lelaki itu bahawa dia masih diperlukan. Lelaki mahukan keselesaan perasaan, sokongan serta kata-kata "Saya cintakan abang..." dan "Tidak kira apa yang terjadi, saya tetap bersama abang ... ."


Sahabat yang paling baik

Jadilah sahabat yang paling baik kepada suami dan dia akan menjadi sahabat yang paling baik kepada anda.


Lelaki mesra tanpa emosi

Antara perkara yang ada pada lelaki dan wanita ialah kehendak mutlak untuk dikasihi serta mengasihi sebagai balasan. Kemesraan emosi dan bersatunya jiwa bukan hanya jasad tetapi cara lahirnya kasih sayang. Ia bukan satu proses saja tetapi membabitkan hal yang tidak terungkai dan agak magis.

Setiap manusia bergantung kepada kemesraan emosi untuk seimbang dan gembira, paling kurang ia diperlukan untuk meneruskan kehidupan. Lelaki berbeza daripada wanita dari segi kebolehan lelaki untuk bermesra secara seksual tanpa kemesraan emosi.

Jalinan atau hubungan antara dua perkara ini iaitu kemesraan seks (cinta berahi) dan kemesraan emosi (cinta kasih) tidak penting pada ramai lelaki.

Ramai lelaki memberi keutamaan yang rendah kepada kemesraan emosi. Lelaki lambat mencapai kemesraan emosi berbanding wanita.

Lelaki lazimnya lebih cepat mencapai kemesraan seksual. Kemesraan emosi wujud apabila terdapat hubungan yang rapat dan jujur antara suami isteri.

Ia mungkin dianggap penting sebagai hubungan intim tetapi tanpa kemesraan emosi, seks boleh dilakukan oleh lelaki sehingga boleh menyebabkan punca konflik semula jadi antara lelaki dan wanita.

Sunday, November 9, 2008

Bosan hidup membujang


MEMBUJANG lama-lama bagaikan sebuah fasa yang indah dalam sejarah hidup seorang lelaki kerana tanpa sebarang ikatan dan menikmati kebebasan sepenuhnya.

Namun, bukan semua yang inginkan kebebasan dalam hidup apatah lagi apabila mula memikirkan untuk menamatkan zaman bujang.

Ada lelaki berasakan sudah sampai masanya meninggalkan zaman berfoya-foya itu demi perubahan hidup yang lebih baik.

Bukan itu saja alasannya, bahkan kebanyakan memilih jalan menamatkan zaman bujang atas faktor tertentu sama ada sudah puas membujang atau sebaliknya.

Cuba kita selidiki mengapa lelaki mula memikirkan untuk berkahwin. Apakah kerana dia benar-benar bersedia, sudah puas ‘mencipta dosa’ atau sudah sampai seru untuk berumah tangga?
Pelengkap hidup. Lelaki berasakan setiap fasa hidup yang mereka tempuhi sudah menghampiri ke tahap yang sempurna.

Mempunyai pekerjaan yang tetap, kedudukan kewangan mencukupi dan memiliki pasangan serasi, membuatkan mereka memikirkan masa depan yang lebih bahagia dengan sebuah ikatan perkahwinan.
Hidup lebih terurus. Mungkin selama ini dia kurang mendapat perhatian daripada orang tuanya. Semua perkara yang diperlukan, dinikmati seorang diri sehingga dia memerlukan seseorang yang mampu membuatkan dirinya berasa nyaman dan dapat memenuhi setiap keperluan hariannya.
Kewangan yang mantap. Dia sudah mempunyai sumber kewangan tetap yang dianggap sebagai modal untuk mengharungi alam rumah tangga bersama pasangan yang dicintai.
Bosan hidup membujang. Bagi lelaki yang sudah puas mengharungi pahit dan manis selama hidup membujang, pernikahan adalah penyelesaian terakhir yang dianggap tepat untuk mereka keluar daripada situasi kebosanan.

Walaupun kenikmatan hidup membujang membuatkan dia berasa dirinya aman dan tiada kongkongan, lama-kelamaan dia rasa hidupnya kosong tanpa wanita di sisi.
Terlalu mencintai. Saat rasai cintanya terlalu mendalam terhadap pasangannya, hatinya menjadi semakin kuat untuk memiliki kekasih paling disayanginya.

Untuk memastikan pasangannya tidak berpaling tadah terhadap lelaki lain, jalan terbaik yang perlu ditempuhi adalah bernikah. Dalam hati kecilnya, pasti menyedari hidup tanpa si dia seperti tinggal di dalam dunia yang tidak berpenghuni.
Sudah bersedia. Dari segi mental dan fizikalnya, dia rasa sudah bersiap sedia untuk melanjutkan hubungan ke alam pernikahan. Bagi lelaki, mereka memerlukan masa untuk membuat persiapan mental sebelum memasuki ke gerbang perkahwinan.
Ingin memiliki keturunan. Seperti wanita, sebahagian besar lelaki menginginkan keturunan yang boleh dibanggakan.
Cepatkan hubungan intim. Hubungan cinta yang dijalinkan sejak sekian lama begitu menguji kesetiaan dan pemikiran pasangan bercinta. Bagi mereka, bertengkar dan cemburu sememangnya menjadi fitrah dalam kehidupan seharian.

Disebabkan itu juga, mereka memutuskan untuk bernikah selain dapat mengukuhkan hubungan intim.
Secocok. Saling melengkapi, mempunyai minat dan hobi sama, tahu sikap masing-masing dan pandai menyingkap setiap persoalan antara anda berdua. Baginya, tiada orang lain yang dapat memahami dirinya selain anda, kekasih sejati.
Desakan orang tua. Sekadar memenuhi tuntutan orang tua, membuatkan seorang lelaki mengajak pasangannya berkahwin.

Ini antara lain kerana orang tuanya sudah uzur dan tidak sabar melihat anaknya hidup bahagia di samping cucu mereka atau melihat anaknya sudah secocok dengan pasangannya.
Desakan kekasih. Lelaki akan berasa tercabar jika mereka dipaksa melakukan sesuatu perkara yang dianggap belum bersedia.

Tetapi ada juga lelaki yang dipaksa dan akhirnya dia menerima dengan sebulat hati tanpa ada sebarang alasan.


This Day In History